Mekanik Ferrari itu dilanggar ketika menukar tayar kereta lumba kumpulan itu di Litar Antarabangsa Bahrain, Sakhir semalam menyebabkan video perlumbaan Formula 1 (F1) semalam tular dalam media sosial.

Rentetan insiden semalam, BBC.COM melaporkan Ferrari didenda 55,000 Euro (RM261,307) kerana menyebabkan kecederaan di laluan pit.

Namun pengurusannya menyatakan insiden itu bukan kesilapan Ferrari sebaliknya lampu hijau itu menyala ketika kereta yang dipandu Kimi Raikkonen masih belum bersedia untuk beredar dari hentian pit.

Raikkonen memberitahu beliau tidak sengaja dan cuba meninggalkan hentian pit sebaik sahaja lampu hijau menyala.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaaannya (Cigarini). Yang pasti dia cedera.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di belakang (hentian pit) dan malangnya dia cedera. Saya perlu bergerak sebaik sahaja lampu hijau dinyalakan. Saya harap dia ok,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Mekanik dilanggar kereta F1 selamat jalani pembedahan