Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengakui terkejut melihat kehadiran penonton yang menyaksikan dua sesi latihan bebas menjelang Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Keterujaan penonton untuk menyaksikan perlumbaan ‘finale’ di Sepang turut menyaksikan jualan tiket cukup memberangsangkan apabila 70,000 tiket telah terjual setakat pukul 12 tengah hari, dan SIC berharap jualan akan mencapai sasaran iaitu 80,000 menjelang Ahad.

“Saya terkejut dengan sambutan penonton yang begitu ramai pada sesi latihan kali ini berbanding penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya.

“Ini sesuatu yang bagus dan sehingga pukul 12 tengah hari, jualan tiket mencecah 70,000. Harap sebelum perlumbaan kita mampu mencapai sasaran 80,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dua pemandu Ferrari iaitu juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dan juara dunia 2007, Kimi Raikkonen menguasai latihan kedua pada sebelah petang, manakala pemandu Red Bull, Max Verstappen serta Daniel Ricciardo mencatat masa terpantas dan kedua terpantas dalam sesi pertama.

Kehadiran penonton tertinggi pernah dicatat sejak F1 Malaysia dianjurkan pada 1999 adalah 126,000, namun jualan tiket mengalami kemerosotan sejak 2014.

Razlan juga berharap rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang melihat perlumbaan paling berprestij ini di depan mata.

“Ini adalah tahun terakhir F1 dianjurkan di Malaysia, saya harap semua yang tidak pernah datang melihat perlumbaan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya buat kali terakhir di sini,” ujarnya.