Juara empat kali itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 44 minit 44.340 saat manakala rakan sepasukannya Kimi Raikkonen di tempat kedua ketinggalan 3.145s manakala pelumba Daniel Ricciardo daripada pasukan Red Bull di tempat ketiga (1:44’48.085s).

Dalam perlumbaan tersebut Vettel mula berada di hadapan ketika pusingan ke-67 selepas memintas Raikkonen ketika berada dalam fasa pitstop sebelum mengesahkan kemenangan ketiganya musim ini dan terus berada di kedudukan teratas pelumba.

Strategi yang digunakan oleh Ferrari itu dilihat amat ketara bagi membenarkan Vettel mendahului perlumbaan berbanding Raikkonen.

Tempat keempat dalam perlumbaan tersebut menjadi milik pelumba Mercedes, Valtteri Bottas yang menamatkan saingan dengan catatan masa 1:44’49.857s manakala rakan sepasukannya Lewis Hamilton sekadar mampu berada di tempat ketujuh dengan 1:45’00.141s ketinggalan 15.801s daripada Vettel.

Kemenangan Vettel itu juga membolehkannya mendahului kedudukan pelumba dengan kelebihan 25 mata berbanding Hamilton yang berada di tempat kedua manakala Bottas berada di kedudukan ketiga dengan 75 mata. - AGENSI