FIA telah menamakan 33 orang legenda sukan tersebut untuk diletakkan di dalam Dewan Kemasyhuran, dan Automobile Club De France bertindak selaku tuan rumah bagi meraikan majlis tersebut.

Juara dunia musim lepas, Nico Rosberg dan pemandu yang masih beraksi dalam perlumbaan F1 iaitu Fernando Alonso serta Sebastian Vettel antara yang hadir pada majlis berkenaan.

“Malam yang cukup beremosi. Satu penghormatan dapat menjadi sebahagian daripada Dewan Kemasyhuran FIA. Berkongsi ruang dengan pemandu-pemandu legenda sukan yang amat saya sayang,” kata Alonso menerusi laman sosial Twitter.

Legenda Britain, Jac­kie Ste­wart, Nigel Mansell dan Damon Hill turut hadir pada majlis yang julung kali diadakan di ibu negara Perancis itu.

FIA telah memberi ganjaran kepada setiap pemandu yang muncul sebagai pemenang sejak perlumbaan itu diperkenalkan pada 1950, yang mana aksi sulung ter­sebut dimenangi Giuseppe Farina.

Bagaimanapun, juara dunia yang baharu, Lewis Hamilton tidak hadir ke majlis itu setelah pemandu Mercedes tersebut memilih untuk menghadiri Anugerah Fesyen 2017 di Royal Albert Hall, London.

Pelumba Britain itu merangkul gelaran dunia keempatnya tahun ini, dan Hamilton, 32, turut ber­ada dalam senarai pendek Anugerah Personaliti Sukan BBC 2017. – AGENSI