Selepas mengharungi cuaca hujan pada sesi latihan pertama pada sebelah pagi, pemburu kejuaraan dunia, Vettel merakamkan masa terpantas satu minit 31.261s dalam 23 pusingan yang dilakukan dan Raikkonen ketinggalan 0.604s untuk catatan kedua terpantas.

Sebelum itu, pada sesi pertama, Vettel yang ketinggalan 28 mata dengan pendahulu kejuaraan dunia, Lewis Hamilton, merakamkan masa kelima terpantas iaitu 1:51.009s, manakala Raikkonen pula muncul sebagai pelumba keempat terpantas dengan masa 1:50.734s.

Bagaimanapun, sesi kedua selama 90 minit itu terpaksa dihentikan 10 minit lebih awal selepas penutup longkang yang longgar di litar berkenaan menyebabkan tayar kenderaan pelumba Haas, Romain Grosjean pancit, sekali gus mengakibatkan pelumba Perancis itu terbabas di penghadang di selekoh 13.

Grosjean, bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan namun kenderaannya mengalami kerosakkan dan steward perlumbaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan semula sesi latihan itu.

Dalam pada itu, juara bertahan GP F1 Malaysia, Daniel Ricciardo daripada pasukan Red Bull mencatatkan masa ketiga terpantas 1:32.099s manakala Hamilton daripada pasukan Mercedes AMG Petronas sekadar merekodkan masa terpantas 1:32.677s untuk menghuni tangga keenam. - BERNAMA