Pelanggaran yang berlaku membabitkan Vettel, rakan sepasukannya Kimi Raikkonen dan pemandu Red Bull, Max Verstappen telah mengakibatkan ketiga-tiga pelumba berkenaan gagal menambah mata dalam kejuaraan dunia.

Apa yang lebih memeritkan mereka, khususnya Vettel, kemalangan itu telah memberi manfaat besar kepada pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton untuk melebarkan jurang daripada tiga kepada 28 mata.

Vettel dalam sidang akhbar berkata, dia perlu melupakan insiden di Singapura dan memberi fokus kepada perlumbaan Ahad ini yang merupakan persaingan terakhir F1 di Malaysia.

“Pelanggaran berlaku pada awal perlumbaan, saya kehilangan kereta. Ketiga-tiga kami terkeluar, dan terpaksa berdepan dengan steward.

“Itu insiden yang amat buruk untuk kami bertiga. Tidak banyak yang boleh anda lakukan. Hal telah berlaku. Ini merupakan sebahagian daripada perlumbaan,” katanya, di sini hari ini.

Pemandu dari Jerman itu memberitahu, sekurang-kurangnya dalam perlumbaan di Monza, Itali (sebelum perlumbaan di Singapura), dia masih mampu mengutip mata setelah menamatkan persaingan di tempat ketiga.

“Saya kehilangan mata dalam dua perlumbaan berturut-turut di Monza dan Singapura yang menyebabkan saya keciciran mata di belakang Hamilton,” ujarnya yang tetap optimis untuk mengejar pelumba Mercedes itu.

Menurutnya, Mercedes merupakan sebuah pasukan yang sangat kuat dan sentiasa memberikan cabaran sengit sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, juara dunia empat kali itu tetap percaya Ferrari memiliki kelebihan di Sepang dan jentera pasukannya mampu mempamerkan prestasi mantap.