Vettel dan Ferrari gagal memenangi sebarang perlumbaan pada 2016, namun hari ini mereka menamatkan aksi di Litar Albert Park dengan hampir 10 saat mengatasi pencabar utama, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes.

Seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas menamatkan saingan di tempat ketiga.

Ini adalah kemenangan sulung Ferrari di Melbourne sejak Kimi Raik­konen melakukannya pada 2007 dan yang kedua buat Vettel di Australia selepas menjuarai perlumbaan 2011 ketika bersama Red Bull.

Malah, kejayaan itu menjadi perangsang buat Ferrari untuk mengharungi musim 2017 dengan kereta generasi baharu yang lebih laju dan memburu gelaran pengeluar pertama sejak 2008.

Ia juga kemenangan keempat buat Vettel bersama Ferrari dan kejayaan sulungnya sejak menjuarai Grand Prix Singapura pada 2015.

“Bagi kami, kemena­ngan ini adalah satu kejutan yang positif.

“Perbezaan ketara pasukan kali ini adalah kemampuan kami menyediakan kereta yang sangat bagus...Saya rasa secara keseluruhannya kereta baharu kami cukup menakjubkan.

“Apa pun, persaingan merebut gelaran masih panjang. Buat masa ini, kami cuma mahu menikmati kejayaan memenangi perlumbaan pembuka tirai hari ini,” kata Vettel yang melakar kemenangan ke-43 dalam kariernya.

Pemandu Jerman itu juga tidak menafikan, tuah turut memihak kepada pasukannya ketika me­ngatasi Hamilton yang terperangkap dalam ‘kesesakan’ di awal saingan.

“Memang diakui tuah sedikit berpihak kepada saya selepas Lewis terperangkap dalam kesesakan di awal saingan,” katanya.

Strategi Ferrari yang lebih baik berbanding Mercedes terutama ketika pertukaran tayar dilakukan menjadi penentu kepada keputusan perlumbaan.

Hamilton yang terpaksa me­lakukan hentian pit di awal sai­ngan, yang menyaksikan pemandu Britain itu ketinggalan di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen telah membuka laluan buat Vettel melebarkan jurang untuk mendahului perlumbaan.

“Tahniah kepada Ferrari dan Sebastian. Dalam perlumbaan tadi, saya terpaksa bergelut de­ngan tayar.

“Saya melakukan hentian pit sangat awal dan selepas itu, terperangkap di belakang salah sebuah jentera Red Bull, tetapi semua itu telah ditakdirkan berlaku,” kata Hamilton.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Raikkonen menamatkan aksi di tempat keempat, Verstappen di kedudukan kelima mengatasi pelumba Brazil, Felipe Massa yang mewakili Williams. – AFP