Selepas tertangguh selama 30 minit akibat trek ditakungi air, sesi kemudian diteruskan selama sejam sebaik sahaja permukaan litar mulai kering bagi memberi peluang kepada pasukan serta pelumba menguji tayar dan jentera.

Verstappen hanya melengkapkan 11 pusingan tetapi berjaya mencatat masa terpantas satu minit, 48.962 saat - 0.757s lebih pantas daripada Ricciardo.

Pendahulu kejuaraan dunia, Lewis Hamilton pula tidak berminat keluar awal dari garaj Mercedes dan hanya menunggu 30 minit sebelum sesi latihan berakhir untuk menguji keretanya. Dia sekadar mencatat masa keenam terpantas.

Pemandu Britain itu melakukan masa terbaik 1:51.518s dan melengkapkan lapan pusingan di Litar Antarabangsa Sepang sejauh 5.54 kilometer.

Pesaing terdekatnya dalam pemburuan gelaran dunia, Sebastian Vettel dari Ferrari kelima terpantas dengan 1:51.009s,. - AFP