Pasukan Jackie Chan DC Ra­cing X Jota yang dibarisi Jaze­man Jaafar, Nabil Jefri dan Weiron Tan cemerlang meraih kedudukan keenam dalam kelas LMP2 di Le Mans 24 jam di litar de la Sarthe, Perancis, Jun lalu pada penampilan pertama mereka.

Bagaimanapun, kedudukan mereka melonjak ke tangga keempat (kelas LMP2) dan kelapan keseluruhan selepas G-Drive Racing dan TDS Racing dibatalkan penyertaan kerana didapat me­langgar peraturan perlumbaan.

Nabil, yang juga bekas pelumba Formula 3 mengakui, kecewa selepas gagal meraih podium namun mahu mengubat kedukaan di Silverstone nanti.

“Sejujurnya saya kecewa ketika gagal meraih kedudukan podium dalam perlumbaan Le Mans 24 jam walaupun sebenarnya kami layak untuk mendapatkannya.

“Kerosakan jentera menjadi penghalang utama. Apa pun pengalaman di sana sangat berguna.

“Sudah pasti di Silvertone nanti, saya dan rakan sepasukan mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan podium tetapi diharapkan semua akan berjalan lancar,” katanya.

Biarpun mereka membuat penampilan pertama di Le Mans 24 jam, namun trio negara mempamer pemanduan yang cemerlang.

Begitupun, pada awal perlumbaan mereka berdepan nasib kurang baik apabila kereta mengalami masalah teknikal di pusingan kedua dan memerlukan 20 minit untuk mengatasinya.

Semangat juang tinggi bagaimanapun dipamerkan ketiga-tiga pelumba apabila berjaya bangkit untuk meraih keputusan cemerlang.

Sementara itu, bagi Weiron pengalaman di Le Mans akan digunakan sebaik mungkin dalam perlumbaan Ahad ini.

“Di Le Mans adalah perlumbaan pertama saya, pengalaman yang diperoleh sangat berharga dan saya yakin di Silverstone, saya mampu melakukan lebih baik,” ujarnya.