Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang memberitahu, perlumbaan Le Mans 24 jam itu merupakan pentas terbaik buat pemandu negara mengukur kemampuan mereka dalam saingan yang benar-benar menguji ketahanan diri.

Ketiga-tiga anak muda tersebut akan berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota dalam kelas LMP2.

“Hujung minggu ini buat pertama kali dalam sejarah tiga pemandu Malaysia akan bersaing bersama di pentas perlumbaan berprestij Le Mans 24 jam. Perlumbaan ini sukar untuk diramalkan peluang mereka (menduduki podium) walaupun di atas kertas pelumba negara memiliki kelebihan ke atas pelumba lain.

“Tetapi ia adalah perlumbaan menguji ketahanan dan apa saja boleh berlaku. Ini merupakan satu cabaran mekanikal (untuk kereta), bagi pemandu dan juga pasukan. Kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dan sudah tentu menginginkan penamat di kedudukan podium tetapi selama 24 jam, apa sahaja boleh berlaku.

“Perlumbaan ini akan memberi pengalaman berharga buat mereka. Musim Super mengandungi dua edisi Le Mans 24 jam, jadi jika mereka berjaya tahun ini, ia sesuatu yang hebat tetapi jika tidak, mereka masih mempunyai peluang lain pada tahun depan,” katanya.

Jazeman, Nabil dan Weiron yang berada di bawah program pembangunan bakat SIC, baru-baru ini berpindah ke WEC daripada Siri Le Mans Asia.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah memperkenalkan format baharu untuk WEC musim 2018-2019, yang mana perlumbaan tersebut dikenali sebagai ‘Super Season’.

Saingan itu akan berlangsung selama 14 bulan dengan melibatkan lapan pusingan, termasuk dua pusingan Le Mans dan dua pusingan Spa Francorchamps.

Tambah Razlan, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai trio negara itu yang bakal beraksi di kelas tertinggi iaitu LMP1, musim depan.

“Daripada segi perancangan jangka panjang selepas Super Season yang melibatkan musim 2018 dan 2019, kami akan mengkaji semula pencapaian mereka selepas musim ini berakhir dan menentukan sama ada pelumba-pelumba ini akan pergi ke LMP1 atau tidak. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya,” jelas beliau. - UTUSAN