Gabungan Jazeman, Weiron Tan dan Nabil Jefri akan melakar sejarah dengan muncul selaku pasukan pertama yang disertai 100 peratus pemandu Malaysia dalam perlumbaan tahan lasak itu.

Mereka akan berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing menggunakan jentera #37 Oreca dalam kelas LMP2.

Bagi Jazeman, dia sudah tidak sabar untuk melakar sejarah baharu buat sukan permotoran negara dan bertekad untuk memberi yang terbaik serta sedaya upaya menamatkan persaingan dalam kelompok terbaik.

“Ini merupakan cabaran terbesar dan saya sudah tidak sabar untuk berlumba dan mahu memberi yang terbaik.

“Dalam persaingan kali ini, kami sudah mencatat sejarah kerana ketiga-tiga pelumba Malaysia digandingkan dalam satu pasukan.

“Meskipun bakal beraksi dengan pelumba-pelumba terkemuka dunia dan juga bekas pemandu Formula Satu antaranya Juan Pablo Montoya tapi tidak mematahkan semangat kami untuk cuba meraih kedudukan terbaik bagi mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Dalam pada itu, Nabil menyifatkan penyertaan dalam perlumbaan kompetitif itu adalah sesuatu yang memang menjadi impiannya.

“Ini adalah peluang terbesar untuk saya yang diberikan oleh SIC. Peluang ini ibarat mimpi menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pusingan pembukaan Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) yang berlangsung di Litar Spa Francorchamps di Belgium awal bulan ini, trio negara itu berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga dalam kelas LMP2.