Awal bulan ini, Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne memberi bayangan bahawa pasukan dari Itali tersebut sedang menimbangkan keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan berusia 67 tahun itu.

Kontrak Ferrari akan tamat pada penghujung 2020 ketika F1 dijangka memperkenalkan enjin baharu selain mengambil langkah mengimbangi hadiah kemenangan kepada setiap pasukan.

“F1 merupakan sebahagian daripada DNA kami sejak kami dilahirkan dan perkara ini sangat sukar sekiranya kami tidak dapat mencerminkan diri kami dalam cara berbeza.

“Sekiranya perlumbaan ini diubah kepada sesuatu yang tidak dikenali, saya tidak mahu terlibat lagi dengannya,” kata Marchionne.

Langkah yang akan diambil itu sangat memberi kesan positif kepada Ferrari dan ia dibuat berdasarkan kepada fakta.

Sebagai pulangan menjadi pasukan tertua dalam perlumbaan F1, Ferrari mendapat bonus kemenangan besar sebanyak 80 juta pound (RM439.35 juta) setiap tahun sebelum perlumbaan bermula.

Tahun lalu, Ferrari meraih keuntugan 160 juta pound (RM878.71 juta), menjadikannya pasukan yang menerima pulangan terbesar berbanding Mercedes yang menerima hadiah kurang 40 juta pound (RM219.68 juta) meskipun menjadi juara.

Januari lalu, F1 dijual kepada firma pelaburan Amerika Syarikat, Liberty Media yang mahu menamatkan ketidakseimbangan yang berlaku dalam kalangan pasukan untuk memberikan peluang seimbang untuk perebutan kejuaraan.

Selain kehilangan wang kemenangan besar, Ferrari juga berdepan kenaikan kos selepas F1 berhasrat untuk memperkenalkan enjin 1.6 liter V6 baharu pada 2021.

Ia akan menjadi lebih murah kepada pasukan lain tetapi meningkatkan kos kepada pasukan seperti Ferrari kerana mereka perlu mereka bentuk enjin itu.

Perkara itu merupakan titik perubahan kepada Ferrari selepas gagal dalam perebutan kejuaraan dunia sejak enjin V6 diperkenalkan pada 2014.– AGENSI