Setahun lalu di Sepang, Hamilton berfikir bahawa seluruh dunia menentangnya, apabila membangkitkan teori konspirasi untuk menjatuhkannya setelah enjin Mercedes yang dipandu pelumba tersebut meletup ketika dia mendahului kejuaraan dunia dengan 23 mata berbanding rakan sepasukan Nico Rosberg yang kemudian dinobat selaku juara dunia.

Ekoran kemelut tersebut, juara dunia tiga kali itu dikatakan seperti sudah berputus harap sehingga timbul khabar angin bahawa dia mungkin bersara.

Bagaimanapun Hamilton, yang kini bangkit dengan semangat baharu musim ini selepas memecah rekod Michael Schumacher untuk muncul pelumba paling kerap berada di petak utama, telah menyatakan mengenai hasratnya untuk menyamai rekod legenda Jerman itu yang melakar 91 kemenangan.

Hamilton telah meraih kemenangan ke-60 di Singapura, dan ketiga berturut-turut musim ini.

“Saya memang ada menimbangkan tentang hasrat untuk bersara. Tetapi, apabila kami kini bertarung sengit, saya menyukainya pula. Perasaan itu cukup hebat sekali, jadi saya mahu terus bertahan selagi saya mampu dan lihat apa yang boleh saya lakukan,” kata pemandu Mercedes AMG Petronas itu dalam temubual bersama sebuah stesen televisyen Britain.

Nasib malang yang membelenggu Hamilton pada musim lalu telah bertukar sebaliknya selepas dia melakar kemenangan di Singapura 10 hari lalu. Vettel dari Ferrari yang berada di petak pertama terlibat dalam kemalangan dengan Max Verstappen dan rakan sepasukan Kimi Raikkonen pada pusingan pertama.

Hamilton, yang bermula di petak kelima, berjaya mengelak daripada terlibat sama dengan insiden tersebut dan sekali gus muncul pemenang yang turut menyaksikannya melebarkan kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia daripada tiga kepada 28 mata dengan enam perlumbaan masih berbaki. – AFP