Juara dunia tujuh kali itu, yang beraksi semula dalam perlumbaan Formula Satu (F1) bersama pasukan Mercedes GP selepas bersara tiga tahun, kecewa apabila keretanya bergesel dengan kereta pelumba Ferrari, Fernando Alonso.

Pelumba Jerman berusia 41 tahun itu, yang memenangi 91 perlumbaan, bergelut selepas sayap depan keretanya mengalami kerosakan.

Ini menyebabkan dia terpaksa masuk ke pit untuk menukar sayap depan, namun kembali memasuki litar.

Harapan peminat untuk melihat Schumacher berada pada kelompok depan tidak berlaku, apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, pada perlumbaan yang dimenangi oleh Britain, Jenson Button.

"Saya boleh beraksi dengan baik hari ini, bagaimanapun agak malang saya berlanggar pada awal perlumbaan.

"Insiden itu menjadi penentuan di mana kedudukan saya sehingga tamat perlumbaan.

''Insiden seperti ini memang sering berlaku, saya harus katakan ia adalah adat perlumbaan.

"Saya akan sentiasa mengingati perlumbaan ini, mengejar pelumba lain dari kedudukan terakhir.

''Apa yang jelas, kami semakin laju berbanding pasukan lain.

"Ia sesuatu yang menggembirakan kerana dapat mengumpul mata dan kami akan beraksi dalam keadaan yang tenang di Malaysia.

''Kami bersedia untuk berdepan dengan cabaran seterusnya," kata Schumacher.

Prinsipal pasukan, Ross Brawn gembira dengan pencapaian Nico Rosberg, yang menduduki tempat kelima, seterusnya meletakkan pasukan Mercedes di tangga ketiga keseluruhan dalam kategori pengeluar, di belakang Ferrari dan McLaren.

"Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan prestasi pasukan pada hujung minggu ini.

"Kami berpuas hati dengan prestasi kereta, tetapi perlu mencari jalan terbaik untuk menambah kekuatan.

"Ia masih belum mencapai tahap yang kami inginkan dan kami harus mengambil berat perkara ini bagi perlumbaan akan datang," katanya. - AFP