SEPANG 30 Sept. - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menerima sebarang tuntutan ganti rugi daripada pasukan Formula Satu (F1), Haas seperti mana yang tersebar dilaman sosial.

Semalam tersebar di media sosial, salinan invois yang didakwa kononnya mereka meminta bayaran AS$295,000 (RM1.24 juta) akibat kerosakan jentera selepas kemalangan sewaktu sesi latihan bebas, Grand Prix (GP) F1 Malaysia, dekat sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali berkata, salinan invois yang tersebar di laman sosial, yang mendedahkan jumlah tuntutan ganti rugi pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu adalah palsu.

‎”Invois itu palsu, tidak benar. Kami tidak menerima sebarang aduan daripada pasukan berkenaan dan saya juga tidak fikir mereka akan bertindak demikian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE