Selepas diberi penghormatan kawal hormat sebelum saingan bermula, pemegang gelaran dunia sebanyak dua kali itu bertindak menanggalkan topi keledarnya sebaik melintas garisan penamat yang menyaksikan Alonso melengkapkan saingan terakhirnya di kedudukan ke-11 bersama McLaren.

Alonso turut diraikan pemenang perlumbaan Lewis Hamilton daripada Mercedes dan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang berada di kedudukan kedua, menerusi acara penghormatan khas apabila membuka ruang kepada Alonso memandu bersama mereka sebelum melakukan aksi pusingan donut di laluan perlahan.

“Ia memang tidak berada dalam perancangan. Saya melihat mereka melakukan pusingan donut di selekoh lapan dan sebelas, jadi, sayapun terjebak sama. Kemudian, saya melihat ada jentera di sebelah kiri dan kanan saya.

“Kami terus mempamerkan pusingan donut itu sehingga ke garisan penamat. Jadi, saya amat berterima kasih kepada mereka berdua (Hamilton dan Vettel) di atas penghormatan ini. Seronok dapat meraikan perpisahan ini sehingga ke garisan penamat,” kata Alonso sambil ketawa.

Meskipun merangkul gelaran dunia bersama Renault pada 2005 dan 2006, pemandu berusia 37 tahun itu meninggalkan karier F1 dengan hati yang berat.

“Saya terkejut kerana dapat berlumba dengan legenda. Saya pernah beraksi dengan Michael (Schumacher, juara dunia tujuh kali), saya juga berlumba bersama Jenson Button. Dua atau tiga tahun lalu, di tempat sama Button bersara, tetapi dia tidak diraikan seperti yang saya terima. Saya tidak dapat membalasnya dengan hanya ucapan terima kasih,” ujarnya.

Bagaimanapun, Alonso memberi bayangan dia bersedia kembali ke kancah F1, selepas berehat pada 2019 dan merangkul gelaran dalam perlumbaan lain terlebih dahulu. – AFP