Legenda Formula Satu Jerman itu, yang menandatangani kontrak dengan Mercedes, bulan lalu akan memulakan persiapan untuk membuat kemunculan semula selepas tiga tahun meninggalkan arena perlumbaan.

Sesi ujian tiga hari di Jerez itu bertujuan membangunkan kereta GP2 yang bakal digunakan untuk perlumbaan musim 2011.

"Michael akan memberi input dan nasihat yang berguna sepanjang sesi ujian.

"Saya yakin pengalaman dan skil memandunya mampu membantu kami membangunkan kereta untuk musim depan,'' kata penganjur GP2, Bruno Michel dalam satu kenyataan.

Siri ujian pertama F1 hanya akan bermula Valencia, Sepanyol pada 1 Februari ini, di mana Schumacher, 41, akan memandu kereta musim ini buat kali pertama sejak bersara pada 2006.

"Michael perlu berada pada keadaan terbaik sebelum membuat kepulangan semula dalam F1, kami percaya ujian di Jerez adalah peluang terbaiknya untuk mempercepatkan proses penyesuaian,'' kata jurucakap GP2, Alexa Quintin.

Sebelum ini, Schumacher pernah memandu uji model lama kereta Ferrari, musim lalu ketika cuba menggantikan Felipe Massa yang mengalami kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan.

Malangnya, pemandu Jerman akhirnya tidak dapat beraksi selepas dia terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan lehernya tercedera.

Menurut Quintin, beberapa lagi siri ujian untuk membangunkan kereta akan dilakukan sebelum kalendar 2010 dibuka di Abu Dhabi bulan depan tetapi beliau tidak dapat memastikan sama ada ia akan melibatkan Schumacher atau tidak. - AP