Todt yang juga bekas Prinsipal pasukan Ferrari, cukup beremosi apabila bercerita mengenai Schumacher ketika menerima Anugerah Sepanjang Hayat oleh majalah permotoran Jerman, Auto Bild.

Schumacher yang menikmati kejayaan besar bersama Ferrari ketika Todt mengetuai pasukan itu berdepan kecederaan kepala ekoran kemalangan luncur salji pada 2013 ketika sedang bercuti di Meribel.

Legenda F1 berusia 49 tahun itu meneruskan proses rawatan di kediamannya di Switzerland tetapi perkembangannya tidak didedahkan.

Hanya rakan rapat dan keluarga dibenarkan melawatnya.

Ketika menerima anugerah, Todt berkata: “Gambar­nya saya gantung di seluruh pejabat dan apartmen. Masa saya dengan Michael sentiasa dikenang sebagai yang terbaik dalam hidup.

“Kami menyayangi satu sama lain kerana berkongsi banyak kejayaan menakjubkan.”

Todt yang menerima anugerah itu kerana sumbangannya sebagai Pengarah Sukan Peugeot, Prisipal Pasukan Ferrari dan Presiden Persekutuan Automobil Antarbangsa (FIA) sering melawat Schumacher di kediamannya di Gland, Switzerland. – AGENSI