Vettel yang ketinggalan 50 mata di belakang Hamilton menjelang Grand Prix Jepun hujung minggu ini semakin tertekan selepas pencabar utamanya dari Mercedes itu lebih unggul dalam sesi latihan bebas hari ini.

Kemenangan di Suzuka bakal meletakkan Hamilton menghampiri kejuaraan dunia kelima ketika saingan berbaki lima perlumbaan.

“Saya ada beberapa pe­rancangan dalam fikiran, namun semuanya datang bersama persoalan apakah ia akan berjaya.

“Sudah tentu, saya tidak akan melakukan tindakan ‘bunuh diri’,” kata Vettel.

Vettel menamatkan sesi latihan bebas kedua hari ini dengan catatan satu minit, 29.050 saat untuk menghuni tangga ketiga. Dia ke­tinggalan 0.833s di belakang Hamilton, yang mencatat 1:28.217s manakala seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas di tempat kedua dengan 1:28.678s.

Sementara itu, Hamilton yang memenangi lima daripada enam perlumbaan terakhir menikmati aksi di Suzuka.

“Trek di sini sangat hebat. Saya mengharungi hari terbaik,” kata pemandu Britain itu menerusi radio pasukan.

Selepas Jepun, persai­ngan F1 akan diteruskan di Amerika Syarikat (22 Oktober), Mexico (29 Oktober), Brazil (12 November) dan Abu Dhabi pada 25 November. – AGENSI