Pemandu Britain itu mencatat masa terpantas 51 minit 11.979 saat setelah melengkapkan 31 pusingan, meninggalkan pelumba Audi Sport ABT, Lucas di Grassi di tangga kedua.

Di Grassi yang memenangi saingan di Beijing, September lalu melakar masa 51:16.154s, manakala Sebastian Buemi dari Team e.dams Renault di tempat ketiga, 5.739s di belakang juara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir me­nyaksikan perlumbaan me­nyampaikan trofi kejuaraan kepada pemenang.

“Perlumbaan di sini agak mencabar, mujur saya berjaya memastikan jurang dengan pelumba di belakang saya.

“Apa yang penting saya tidak melakukan kesilapan bodoh yang mampu menjejaskan peluang saya,” kata Bird.

Bird yang mengumpul 40 mata berada di tempat kedua dalam kedudukan pemandu dunia, sementara Di Grassi mendahului saingan dengan 43 mata.

Sementara itu Najib mahu perlumbaan Formula E terus diadakan di Malaysia agar dapat menjadi sukan bermotor berkuasa elektrik yang popular di samping mempromosikan negara di persada antarabangsa.

Menyifatkan penganjuran julung kali kejohanan itu sebagai amat berjaya, beliau berkata, kejohanan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelumba serta peminat sukan bermotor tempatan dan luar negara.

“Harapan saya kita dapat te­ruskan agar ia mendapat sambutan sebab mengambil masa beberapa tahun supaya menjadi lebih mantap dan popular,” kata­nya.

Hadir sama menyaksikan perlumbaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.