Juara dunia tiga kali itu telah membangkitkan kemarahan bos Mercedes, Toto Wolff setelah pemandu Britain tersebut melanggar arahan pasukan ketika perlumbaan sedang berlangsung dalam usahanya menghalang Rosberg daripada menyekat hajatnya memburu gelaran dunia buat kali keempat.

Namun, Rosberg berjaya melengkapkan aksinya di kedudukan kedua pada perlumbaan penutup musim tersebut yang sudah memadai untuk menjulang pemandu Jerman itu sebagai juara dunia yang baharu bagi musim 2016.

Pada perlumbaan, semalam, Hamilton dilihat seakan-akan tidak membantu rakan sepasukannya apabila mendedahkan Rosberg kepada lawan untuk memintas.

Dia dikatakan dengan sengaja memperlahankan jenteranya bagi membenarkan jentera Red Bulls ataupun Ferrari memintas Rosberg dalam usahanya menghalang pelumba Jerman tersebut meraih keputusan podium.

Situasi tersebut mengundang kemarahan Wolff yang menegaskan, mana-mana individu yang mencetuskan situasi anarki ataupun satu usaha menghuru-harakan suasana tidak dibenarkan bekerja bersama pasukan dan mana-mana syarikat.

“Menggugat struktur bermakna anda meletakkan keutamaan kepada diri anda berbanding pasukan. Kami juga merasakan tindakan tidak mendengar arahan umpama tidak menghormati pasukan dan saya tidak pasti mahu menuding jari atau terus membiarkan rasa kesakitan ini,” kata Wolff. – AGENSI