Pengeluar Perancis itu bersedia untuk kempen ketiga sebaik pulang ke kancah perlumbaan F1 pada 2016 dengan mempertaruhkan sekali lagi Nico Hulkenberg dan Carlos Sainz Jr selaku pemandu pasukan.

“Jentera telah menunjukkan kemajuan dan perkembangan yang baik berdasarkan konsep yang dibangunkan pada musim 2017. Ini termasuk konsep suspensi dan aerodinamik yang lebih baik,” kata Renault dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Model terbaharu pasukan itu, mengekalkan skim warna yang sama iaitu hitam dan kuning, termasuk halo kokpit yang wajib dipasang pada jentera musim ini untuk tujuan melindungi keselamatan pemandu.

“Sasaran utama kami ialah untuk mempamerkan kemajuan menerusi keputusan yang dicatat. Kejayaan yang dicapai pada tahun lalu telah dilakukan dalam pelbagai cara. Tahun ini merupakan tahun kedua kami membina kembali dan mengorak selangkah lagi ke depan dalam usaha memenuhi sasaran jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya telah menyaksikan kemajuan dalam pelbagai aspek, daripada kedudukan kesembilan melonjak di tempat keenam. Dalam perlumbaan pula kami kerap muncul sebagai pasukan keempat paling laju di grid.

“Kami memiliki segala-galanya untuk berfikir positif tentang tahun ini. Kami mempunyai dua pemandu yang sangat berbakat dan bercita-cita tinggi,” kata Pengarah Urusan pasukan, Cyril Abiteboul.

Pelumba Sepanyol, Sainz yang menyertai Renault dari Toro Rosso ketika saingan berbaki empat perlumbaan musim lepas, berada di kedudukan kesembilan keseluruhan pada tahun sebelumnya, manakala pemandu Jerman, Hulkenberg melengkapkan aksinya di tempat ke-10.

Kedua-dua pemandu tersebut akan dibantu oleh pelumba simpanan berdarah campuran Britain-Korea, Jack Aitken, 22, yang mengambil alih tempat Sergey Sirotkin selepas anak muda dari Rusia itu menyertai Williams selaku pelumba tetap, minggu lalu. - AFP