Kedua-dua pelumba itu boleh dianggap hanya bertukar tempat, dengan Raikkonen pula akan menggantikan Lerlerc dalam pa­sukan Sauber.

“Scuderia Ferrari mengumumkan Kimi Raikkonen pada hujung musim ini akan melepaskan tugasnya sekarang. Untuk musim depan Charles Lerlerc akan bergandingan dengan Sebastian Vettel,” kata pasukan yang berpengkalan di Itali itu dalam satu kenyataan.

Lerlerc, 20, sebenarnya tidak asing dengan pasukan Ferrari ke­rana dia merupakan bakat yang dilahirkan daripada akademi mereka sebelum ini tetapi memulakan karier F1 bersama Sauber.

Raikkonen, 38, pula kembali kepada pasukan asalnya kerana pernah bersama Sauber pada 2001 sebagai pendatang baharu. Sejak itu dia berlumba dalam 287 grand prix dan memenangi 20 daripadanya.

“Sepanjang musim ini, sumbangan Kimi kepada pasukan ini sebagai pemandu dan seorang manusia yang berkualiti tinggi cukup fundamental. Dia memainkan peranan yang penting dalam perkembangan pasukan dan pada masa sama seorang yang hebat dalam kerja berpasukan,” kata kenyataan itu.

Sauber, dalam kenyataan ber­asingan pula, menyambut baik kehadiran semula Raikkonen dalam pasukan itu untuk membawa cabaran bagi musim 2019.

“Pasukan F1 Alfa Romeo Sauber dengan gembiranya meng­umumkan Kimi Rikkonen akan menyertai pasukan ini mulai 2019. Juara dunia 2007 itu telah menandatangani kontrak untuk tempoh dua tahun akan datang,” kata Sauber.

Sebagai rekod, Raikkonen pernah bersara daripada F1 selepas memenangi kejuaraan dunia pada 2007 bersama Ferrari sebelum melibatkan diri dengan perlumbaan kereta rali selama dua tahun.

Dia kembali berlumba dalam F1 pada 2012 dengan menyertai pasukan Lotus sebelum menyertai semula Ferrari pada 2014 hingga tahun ini. – AFP