Jazeman Jaafar yang mengetuai pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota dalam kategori LMP2 untuk perlumbaan tahan lasak 24 jam di Le Mans, Perancis itu menegaskan dia dan dua rakan sepasukannya iaitu Weiron Tan dan Nabil Jefri tidak boleh hilang fokus ketika masing-masing berada dalam kereta untuk tempoh dua hingga tiga jam.

“Perlumbaan terbahagi kepada le­bih daripada tiga bahagian untuk seseorang pelumba, sudah tentu memberi cabaran cukup besar. Saya harap kami tidak melakukan sebarang kesilapan sepanjang perlumbaan.

“Setiap perlumba juga perlu memandu dalam tempoh dua hingga tiga jam dan memerlukan fokus dan konsistensi di samping cepat menyesuaikan diri dalam perlumbaan itu,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi, katanya keadaan cuaca yang tidak menentu di sini sedikit sebanyak pastinya mengganggu konsistensi pemanduan mereka, namun dia tidak mahu menjadikan aspek itu sebagai alasan dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada penyertaan pertamanya dalam perlumbaan berprestij tersebut.

“Cuaca pada hari pertama panas, hari kedua mendung dan sedikit lembab, sekali gus sedikit sebanyak menjejaskan pemanduan kerana perlu menggunakan tayar yang berlainan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam tiga sesi kelayakan, trio negara yang menggunakan jentera #37 Oreca itu berjaya meraih kedudukan ke-10 keseluruhan yang merupakan keputusan positif sebelum bermula perlumbaan sebenar.

“Alhamdullilah ketika sesi kelayakan kami berjaya menamatkan persaingan di kedudukan ke-10 keseluruhan yang merupakan satu permulaan yang baik, namun yang lebih penting adalah meraih keputusan lebih baik dalam perlumbaan sebenar,” ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, Jazeman mengakui berasa agak hiba kerana tidak dapat menyambutnya bersama ahli keluarga, namun kedatangan ibunya sedikit sebanyak mengubat kesedihan itu.

“Sedikit sedih tapi diharapkan pengorbanan ini mampu membuahkan hasil lumayan dengan meraih kedudukan terbaik dalam perlumbaan nanti,” jelasnya. – UTUSAN