Pasukan Jackie Chan DC Ra­cing X Jota yang dibarisi Jazeman Jaafar, Nabil Jefri dan Weiron Tan pada awal perlumbaan berdepan nasib kurang baik apabila kereta mereka mengalami masalah teknikal pada pusingan kedua yang menyaksikan 20 minit masa diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Walau bagaimanapun, sema­ngat juang yang tinggi telah dipamerkan mereka apabila berjaya bangkit untuk meraih kedudukan keenam (kelas LMP2) dan ke-10 secara keseluruhan.

Nabil mengakui masalah teknikal yang dihadapi pada permulaan perlumbaan sedikit seba­nyak mengganggu hasrat mereka untuk meraih kedudukan podium dan dia percaya seandainya tidak berdepan masalah itu, sudah pasti sasaran awal mereka mampu dilaksanakan.

Tambahnya, perlumbaan kali ini merupakan pengalaman yang sangat berguna kepada mereka untuk masa akan datang dan dia turut berpuas hati dengan prestasinya serta rakan sepasukan yang telah berusaha keras.

“Sangat gembira dengan keputusan yang diraih, sukar untuk menggambarkan perasaan ini kerana ini merupakan perlumbaan 24 jam dan sudah pasti akan berdepan beberapa masalah namun kami berjaya melakukan dengan baik.

“Jika tidak berdepan masalah teknikal, saya pasti kami mampu meraih kedudukan podium. Apa pun ini pengalaman yang sangat berguna dan saya percaya kami mampu meraih keputusan lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tempat pertama bagi kelas LMP2 diraih oleh G-Racing, kedua menjadi milik Signatech Alpine Matmut dan Graff-So24 menamatkan perlumbaan di anak tangga ketiga. – UTUSAN