Selepas mengungguli perlumbaan di Silverstone, dua minggu lalu, pemandu Britain itu ha­nya dipisahkan dengan satu mata di belakang pendahulu kejuaraan dunia, Sebastian Vettel dari Ferrari.

Mercedes mengungguli kedudukan pengeluar dunia menerusi 55 mata mengatasi Ferrari.

“Saya fikir kami telah membuktikan bahawa Mercedes adalah pasukan terbaik ketika ini.

“Pasukan menunjukkan hasil kerja yang bagus secara kolektif sedangkan kami tidak melakukan terlalu banyak perubahan kepada kereta.

“Dalam perlumbaan terakhir ketika kami menang, kami masih mampu cemerlang menggunakan kereta yang tidak banyak dikemas kini. Kami telah belajar mengenai jentera dan mengeksploitasinya dengan baik.

“Persaingan masih agak rapat, namun kami memiliki banyak kelebihan dalam kelayakan. Jika anda melihat kepada statistik kelayakan, kami memegang jurang dan kemudian perlumbaan menjadi semakin rapat selepas 10 perlumbaan.

“Bagaimanapun kami berjaya memahami jentera dengan lebih baik, memahami tayar lebih baik dan sudah mula memanfaatkan segala kelebihan yang ada,” kata pemandu berusia 32 tahun itu.

Sementara itu, Vettel menegaskan, dia tidak bimbang dengan kesukaran yang dihadapi Ferrari akhir-akhir ini, malah yakin mampu mengatasi pencabar rapatnya itu dalam Grand Prix Hungary, hujung minggu ini.

“Saya tidak terlalu tertekan. Di atas kertas, ia (Grand Prix Hungary) sepatutnya mampu menjadi perlumbaan yang baik buat kami.

“Saya gemarkan trek di sini, kami tahu apa yang perlu dilakukan. Hakikat bahawa ia adalah perlumbaan terakhir sebelum rehat musim panas tidak berubah apa-apa,” kata pemandu Jerman itu.

Ketika persaingan terarah kepada Mercedes dan Ferrari, pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo dari Australia bagaimanapun mencuri tumpuan menjelang perlumbaan hujung minggu ini apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama, hari ini.

Berkedudukan keempat dalam kejuaraan dunia, Ricciardo mencatat masa terbaik satu minit, 18.486 saat di Litar Hungaroring, meninggalkan pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat kedua dengan 0.234s di belakang.

Hamilton yang memburu kemenangan keenam di Hungary ber­ada di tempat ketiga de­ngan 0.372s ditinggalkan Ricciardo, manakala rakan sepasukan Ricciardo, Max Verstappen di kedudukan keempat. Vettel mencatat masa keenam terpantas. – AGENSI