Wolf jelas kecewa dengan prestasi buruk dua jenteranya dalam sesi latihan bebas pertama dan kedua Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

”Catatan masa mereka sangat teruk. Hari ini, mereka tidak cukup laju.

”Jentera pula gagal mempamerkan persembahan yang bagus dan kelihatan tidak begitu stabil,” katanya dalam sidang akhbar.

Hamilton dan Bottas sekadar melengkapkan aksi mereka dalam kedua-dua sesi tersebut di kedudukan keenam serta ketujuh.

Pada sesi pertama, Hamilton mencatat masa sepusingan 1 minit 51.518 saat dan sesi kedua dia memperbaiki keputusannya dengan lakaran 1:32.677s.

Rakan sepasukan, Bottas pula mencipta masa 1:52.007s dalam sesi pagi, manakala sesi petang pemandu Finland itu mencatat 1:32.720s.

Ketika diminta mengulas mengenai penganjuran terakhir F1 di negara ini, Wolf menzahirkan rasa sedihnya kerana Malaysia merupakan perlumbaan laman sendiri yang kedua buat Mercedes selepas Great Britain.

”Kami memang sedih kerana ini merupakan perlumbaan terakhir di sini. Disebabkan kami mempunyai jalinan kerjasama dengan Petronas, perasaan sedih itu lebih dirasai kerana Malaysia merupakan rumah kedua kami,” ujarnya.

Bercakap tentang masa depan Botttas yang menandatangani penyambungan kontrak selama setahun lagi, Wolf amat berharap pelumba muda itu dapat mempamerkan prestasi yang sepatutnya pada musim depan. - UTUSAN ONLINE