Massa mengadu pening serta tidak sihat ketika sedang memandu pada sesi latihan bebas terakhir di Litar Hungaroring.

Selepas menjalani pemeriksaan awal di pusat perubatan yang terletak di trek, dia dinasihatkan agar mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Pemandu pasukan Williams itu terbabas dua kali ketika sesi latihan, sebelum menamatkan saingan di tangga ke-15, ketinggalan di belakang rakan sepasukannya, Lance Stroll.

Bekas pemandu Ferrari itu juga membatalkan sidang akhbar dan semua aktiviti rasmi akibat masalah tersebut.

“Selepas rasa tidak sihat iaitu bermula pada sesi latihan kedua...Felipe menjalani pemeriksaan di pusat perubatan yang terdapat di trek.

“Dia kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga,” kata jurucakap pasukan Williams dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Massa disyaki di­serang virus dan perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik sahaja mereka menerima laporan perubatan daripada Hospital MH EK Honvedkorhaz.

Seandainya Massa, 36, tidak dapat memandu pada perlumbaan esok, dia bakal digantikan dengan pelumba simpanan pasukan, Paul di Resta.

Resta yang kali terakhir bertanding dalam F1 bersama Force India pada 2013 berada di Litar Hungaro­ring hujung minggu ini kerana bekerja untuk Sky TV, menggantikan Martin Brundle. – AGENSI