Catatan masa satu minit, 19.726 saat yang dilakukan oleh pelumba Brazil itu adalah yang kedua terpantas daripada keseluruhan ujian yang telah dijalankan dalam tempoh dua minggu ini.

Massa, 35, mengumumkan persaraan sebaik sahaja tamat perlumbaan musim lalu, namun menukar keputusannya selepas dipanggil semula oleh Williams untuk menggantikan Valtteri Bottas yang menyertai Mercedes.

Red Bull yang berjanji untuk meningkatkan kelajuan berbanding sesi ujian pertama yang diharungi minggu lalu, mencatat masa kedua terpantas menerusi Daniel Ricciardo.

Juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton pula kurang menyerlah pada sesi sebelah pagi dengan melengkapkan 49 pusingan dan mencatat masa ketiga terbaik keseluruhan. Hamilton akan menyerahkan tugas menguji jentera kepada Bottas pada sesi petang.

Sementara itu, Sebastian Vettel yang menguji jentera baharu Ferrari kekal menggunakan tayar pertengahan untuk mencatat masa keempat terpantas manakala pasukan McLaren terus bergelut dengan masalah apabila pendatang baharu dari Belgium, Stoffel Vandoorne hanya sempat melengkapkan 34 pusingan sebelum enjin Honda keretanya mengalami masalah. - AFP