Penyandang juara Ferrari, Red Bull, Renault dan BMW-Sauber sepakat dalam rayuan membantah keputusan steward perlumbaan di Australia dan Malaysia bahawa penggunaan penahan sayap angin baru (diffuser) di bahagian belakang kereta yang digunakan oleh Brawn, Toyota dan Williams adalah tidak sah.

Keputusan kes itu tidak dijangka diumumkan sehingga petang ini, bermakna ketika itu semua pasukan sedang bersiap sedia untuk perlumbaan pusingan ketiga Grand Prix China Ahad ini.

McLaren, yang juga menggunakan enjin Mercedes seperti Brawn, menghadiri perbicaraan di Paris itu, namun wakilnya dijangka tidak akan memberi keterangan walaupun berkongsi pendapat mengenai bantahan keempat-empat pasukan tersebut.

Ferrari diwakili oleh bekas perancang kejuaraannya Rory Byrne, yang merupakan kawan rapat prinsipal pasukan Brawn, Ross Brawn dalam pasukan Itali itu serta ketua pereka bentuk Nikolas Tombazis.

Kontroversi tertumpu kepada penggunaan diffuser, yang menyalurkan udara di bawah dan keluar di bahagian belakang kereta bagi menghasilkan kuasa pecutan maksimum.

Brawn, yang amat pantas pada dua perlumbaan setakat ini, juga Toyota, berada di tempat pertama dan kedua dalam kategori pengeluar.

‘‘Keputusan ini akan memberi impak besar dalam kejuaraan tahun ini,’’ kata juara dunia 2007 dari Ferrari Kimi Raikkonen, yang mana pasukannya belum meraih sebarang mata. – Reuters