Walaupun kalendar F1 2017 masih berbaki satu perlumbaan di Abu Dhabi, hujung minggu ini, namun Mercedes mahu memulakan rundingan untuk mengikat pemandu Britain tersebut de­ngan pakej lebih menarik bagi tempoh tiga tahun.

Menurut akhbar Britain, The Sun, Mercedes mahu memastikan bayaran yang dinikmati Hamilton, 32, setanding pelumba Ferrari, Sebastian Vettel, yang memegang status penerima gaji tertinggi sejak dua musim lalu.

Kontrak Hamilton hanya akan tamat pada penghujung 2018, namun dia mahu merundingkan semula mengenai terma ketika sedang berada di kemuncak karier.

Mercedes yang terdesak untuk mengekalkan aset berharga mereka itu tidak mahu mengambil risiko kehilangan Hamilton kepada pesaing utama mereka, Ferrari atau Red Bull.

Kontrak lumayan itu menyaksikan Hamilton bakal menikmati gaji hampir 11,000 pound (RM60,000) sehari, selain bonus kemenangan.

Semalam, Hamilton diberi barisan kawalan kehormat sebaik sahaja tiba di ibu pejabat Mercedes di Brackley, England selepas mengesahkan kejuaraan dunia pada Grand Prix Mexico, 29 Oktober lalu.

“Ini adalah detik yang tidak akan saya lupa. Sebaik sahaja melangkah ke pintu pagar kilang, saya lihat semua berbaris di sepanjang jalan untuk menyambut kedatangan saya. Ia benar-benar membuatkan saya ingin menangis,” kata Hamilton. – AGENSI