Pelumba daripada pasukan Red Bull, Max Verstappen menjuarai perlumbaan tersebut manakala Hamilton yang memandu jentera Mercedes bangkit daripada ketinggalan selepas berada di kedudukan terakhir apabila terlibat dalam kemalangan di pusingan pertama bersama seterunya, Sebastian Vettel.

Vettel merupakan satu-satunya pelumba yang boleh menafikan kejuaraan Hamilton pada musim ini, memulakan perlumbaan di petak pertama dan menamatkannya di tempat keempat.

Hamilton sah menjadi juara dunia selepas mengumpul 333 mata berkelebihan 56 mata di hadapan Sebastian Vettel dengan hanya berbaki dua perlumbaan sahaja pada musim ini. Jika Vettel memenangi kedua-dua perlumbaan tersebut dengan 50 mata maksimum pelumba daripada Ferrari itu masih tidak dapat mengubah kedudukan.

“Saya melakukan apa yang termampu. Saya memulakan perlumbaan dengan baik bagaimanapun saya tidak tahu apa yang berlaku di selekoh ketiga - saya memberi dia (Vettel) ruang yang banyak.

“Rasa seperti tidak benar. Ini bukan perlumbaan yang anda mahukan namun saya tidak berputus asa. Saya meneruskan perlumbaan sehingga tamat,” kata Hamilton.

Hamilton memenangi sembilan perlumbaan sejak awal musim ini dan dia tidak pernah menamatkan perlumbaan di bawah kedudukan ketujuh.

Rakan sepasukannya, Valtteri Bottas menamatkan saingan di tempat kedua manakala Kimi Raikkonen dari Ferrari ketiga. - REUTERS