Corinna turut meminta pihak media agar tidak mengganggu ahli keluarganya.

"Tolonglah beri sokongan kepada kami demi Michael. Bagi saya amat penting untuk anda tidak memberikan sebarang tekanan kepada doktor dan pihak hospital bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Tolong yakin dengan sebarang kenyataan yang telah diberikan sebelum ini dan tinggalkan hospital ini. Saya juga merayu agar pihak media tidak mengganggu ahli keluarga kami," kata isteri kepada legenda Formula Satu itu yang menujukan kenyataannya kepada media, semalam.

Bekas juara dunia yang berasal dari Jerman itu masih berada dalam keadaan koma di hospital itu sejak kemalangan pada 29 Disember lalu ketika meluncur ski di pusat peranginan Meribel di Perancis. Schumacher memiliki sebuah rumah percutian di sana.

Kemalangan yang menimpa Schumacher telah menarik perhatian media dari seluruh dunia dan perkarangan hospital yang merawat bekas pemandu itu di bandar Grenoble telah dipenuhi dengan pemberita serta jurugambar.

Menurut sumber rapat Schumacher kelmarin, juara dunia tujuh kali itu telah mula menunjukkan perkembangan positif, selepas doktor menyatakan dia berada dalam keadaan stabil, tetapi masih kritikal.

Ekoran pelbagai spekulasi yang dicetuskan media, pasukan perubatan yang merawat Schumacher berkata, mereka tidak akan menyalurkan sebarang butiran lanjut mengenai rawatan ke atas bekas pelumba berusia 45 tahun itu dalam usaha melindungi hak peribadinya sebagai pesakit. - AGENSI