Juara dunia lima kali Formula 1 (F1) itu telah meluangkan masanya dengan le­genda sukan luncur air, Kelly Slater untuk bermain ombak dengan papan luncur.

Dalam video yang dimuat naik menerusi Instagram Hamilton, pemandu Mercedes itu dilihat mengenakan sut renang sebelum bertemu Slater dan masuk ke dalam air.

Peluncur veteran itu me­ngajar mengenai cara-cara untuk meluncur dan Ha­milton membuktikan dirinya seorang yang cepat menerima segala ilmu yang diajar.

Hamilton kemudian me­nunjukkan beberapa skil yang dipelajarinya, dengan meredah ombak bersendirian di depan kamera.

Hamilton turut menyertakan kapsyen pada videonya: “Sukan baharu pada Tahun Baru, masa untuk belajar benda baharu. Terima kasih #Kelly Slater kerana mengajar saya! Ia sesuatu yang radikal.”

Dengan musim F1 hanya akan bermula pada 17 Mac di Australia, Hamilton, yang menginjak usia 34 tahun pada 7 Januari lalu, masih mempunyai masa untuk bermain dengan ombak dan mengasah bakatnya.

Slater, dilahirkan di Florida, adalah juara dunia 11 kali dan masih memegang rekod juara dunia termuda pada usia 20 tahun dan paling tua ketika berumur 39 tahun.

Peluncur yang dianggap legenda dalam sukan luncur itu, masih belum mengesahkan untuk melakukan penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2020, walaupun ketika itu dia sudah berusia 48 tahun. – AGENSI