Pemandu Ferrari dan juara dunia empat kali itu mendahului sejak awal saingan, dan berjaya menamatkan aksi dalam perlumbaan yang diwarnai kemalangan sebelum menang dengan catatan 2.8 saat di depan pemandu Mercedes, Valtteri Bottas.

Rakan sepasukannya yang juga juara dunia 2007, Kimi Raik­konen menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Dia berjaya mengekang cabaran sengit pemandu Mercedes Ha­milton yang dilihat lurang ‘bernafsu’ untuk merangkul kejuaraan kerana sudahpun dinobat sebagai juara dunia, dua minggu lalu.

“Saya memang tidak merasai (ancaman daripada Hamilton).

“Saya boleh nampak dia memasuki pit beberapa kali (selepas melakukan pusingan panjang), tetapi ini bukan kali pertama tahun ini dia melakukan strategi seperti itu.

“Ia tidaklah begitu mengujakan apabila anda bermula dari depan tetapi ia sebenarnya lebih menarik kalau anda berlumba dari belakang dan berjaya mengejar.

“Secara keseluruhan, saya akui kereta Lewis lebih pantas tetapi pemilihan tayar lembut sangat sesuai dengan keadaan permukaan litar di sini,” kata Vettel.

Pelumba muda Belanda, Max Verstappen menghuni tempat kelima, di depan rakan sepasukannya dalam Red Bull, Daniel Ricciardo dari Australia.

Pemandu tuan rumah, Felipe Massa pula berada ditangga ketujuh bersama Williams dalam perlumbaan F1 ter­akhirnya di tanah air sendiri sebelum bersara.

Pemandu yang menjadi kebanggaan Brazil itu menamatkan saingan di depan juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari McLaren Honda yang ber­ada di tempat kelapan, sementara pelumba Force India, Sergio Perez di kedudukan kesembilan dan Nico Hulkenberg dari Renault ditangga ke-10.

Kemenangan yang dicipta ­Vettel adalah kejayaan pertama­nya dalam lapan perlumbaan sejak GP Hungary, Julai lalu.

Kejayaan tersebut juga merupakan yang pertama untuk Ferrari di Brazil sejak 2008. – AFP