Keputusan tersebut diumumkan selepas dia dipanggil oleh steward kerana gagal mematuhi peraturan di kawasan pit.

Pemandu Mercedes itu, yang memenangi perlumbaan setelah bermula dari petak ke-14, disyaki melakukan kesalahan memintas garisan yang memisahkan antara susur masuk dari trek sewaktu dia mengubah keputusannya untuk melakukan hentian pit ketika kereta ke­selamatan berada di litar.

Hamilton menamatkan perlumbaan 4.5 saat di hadapan rakan sepasukan Valtteri Bottas dan 6.7 saat lebih laju berban­ding pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen yang menghuni kedudukan ketiga. Sekiranya penalti menerusi potongan catatan masa dikenakan ke atas­nya, dia boleh terlepas untuk mengungguli perlumbaan.

Steward membuat pertimba­ngan bahawa ketika insiden tersebut berlaku, kereta keselamatan telahpun memasuki trek dan keadaan tersebut mencetuskan kekeliruan Hamilton yang berada antara sempadan pit dan trek.

Mereka juga mendapati insiden berkenaan tidak mencetuskan bahaya kepada pesaing dan perubahan keputusan telah dilaksanakan dengan cara yang selamat.

“Keadaan itu memang mengelirukan kerana semua orang panik, mungkin saya seorang yang mampu bertenang. Mereka menjerit, ya, tidak, masuk, jangan masuk. Memang seronok,” katanya apabila ditanya apa sebenarnya yang terjadi. – REUTERS