Juara dunia lima kali itu mencatatkan masa sepusingan terpantas satu minit, 07.281 saat yang merupakan rekod baharu dalam percubaan kedua­nya pada sesi kelayakan terakhir sekali gus mencerahkan peluangnya untuk mencatat kemenangan yang jarang dilakukannya di Litar Interlagos.

Jika menang esok, bermakna dia membantu Mercedes menang kategori pasukan di sini buat kali kelima berturut-turut.

Ini kali ke-82 Hamilton memenangi petak pertama dalam kariernya. Dia hanya pernah memenangi GP Brazil sekali iaitu pada 2016.

Petak kedua menjadi milik pemandu Ferrari, Sebastian Vettel diikuti rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang meraih petak utama tahun lalu dan Kimi Raikkonen di petak keempat.

Vettel dan Raikkonen akan berusaha mengutip kelebihan 13 mata di sini bagi menghidupkan peluang Ferrari untuk menghalang Mercedes daripada mengekalkan gelaran kategori pengeluar.

“Sesi kelayakan yang sukar. Cuaca tidak menentu dan kami tidak tahu apa yang boleh diramalkan. Jelas Ferrari amat pantas hujung minggu ini.

“Saya tidak tahu sama ada saya menang petak utama atau sebaliknya. Secara jujur, pusingan terakhir tidaklah sehebat mana. Di beberapa tempat saya gagal mengawal kereta dengan baik,” kata Hamilton yang sebelum ini tidak pernah meraih petak utama dalam baki perlumbaan selepas dia memenangi kejuaraan dunia. – AFP