Pemandu Britain itu, yang hanya melakukan 25 pusingan, awal minggu ini, selepas salji dan hujan yang turun mengganggu jadual sesi ujian, kali ini berjaya melengkapkan 69 pusingan lagi dengan lakaran masa terpantas 1 minit 19.333 saat (s) setelah menggunakan tayar medium Pirelli.

“Secara jujurnya, saya sangat gembira dapat berada di atas trek hari ini (semalam). Saya tidak sukakan sesi ujian, tetapi hari ini saya benar-benar bersedia untuk masuk ke litar.

“Cukup jelas kami tidak dapat melakukan banyak pusingan, bagi menyesuaikan dengan tayar dan jentera baharu. Setakat ini, ia menunjukkan petanda positif,” kata Hamilton kepada pemberita sebaik sesi ujian berakhir di Litar Barcelona.

Kelajuan jentera Mercedes tidak mengejutkan, setelah pasukan itu memenangi empat gelaran pemandu dan pengeluar. Mereka kelihatannya sudahpun bersedia mengintai pasukan pesaing untuk ditewaskan, walaupun kadang kala catatan masa pada sesi ujian boleh mengaburi mata pemerhati.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang juga merupakan juara dunia empat kali dan naib juara kepada Hamilton pada tahun lalu, secara terbuka berkata, Hamilton dan Mercedes akan menjadi pilihan menjelang musim baharu yang akan membuka tirai kejuaraan di Australia pada 25 Mac ini.

Hamilton berkata, dia tidak melihat persembahan pasukan lain.

“Saya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Saya ada melihat beberapa jentera di atas trek. Saya belum lagi menyaksikan sebarang keputusan yang konsisten, yang hanya saya lihat warna merah,” katanya.

Pemandu Belgium, Stoffel Vandoorne, yang kini berlumba bersama McLaren berjaya menyempurnakan 110 pusingan dan mencatat masa kedua terpantas walaupun dia menggunakan tayar lembut yang mampu membantunya memacu jentera lebih laju.

Catatan masa Vandoorne ialah 1:19.854s, yang masih setengah saat lebih perlahan berbanding jentera dipandu Hamilton. - REUTERS