Kemenangan tersebut membolehkan pemandu Mercedes dari Britain itu merapatkan jurang kepada 12 mata di belakang Sebastian Vettel yang masih mendahului senarai kejuaraan dunia Formula Satu (F1).

Selepas Ferrari menamatkan kedudukan 1-2 di Monaco, dua minggu lalu, Mercedes kembali mempamer persembahan dominan apabila Hamilton merangkul kemenangan ke-56 di dalam karier­nya selepas berada selesa 19.7 saat di depan rakan sepasukan, Valtteri Bottas.

Kejayaan itu juga adalah kemenangan ketiga dilakar Hamilton, musim ini dan buat kali ketiga beturut-turut pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas tetapi berangin di Litar Gilles Villeneuve.

“Saya meraih petak utama di sini buat kali pertama, malah saya melakar kemenangan sulung di sini 10 tahun lalu. Dapat mengulangi pencapaian sama pada hujung minggu ini adalah sesuatu yang istimewa.

“Saya perlu mengucapkan te­rima kasih kepada pasukan saya kerana menjadikan kejayaan ini satu realiti.

“Kakitangan di kilang (pengeluar kereta) telah bekerja keras bagi memperbaiki jentera kami sejak perlumbaan terakhir dan sebaik sahaja tiba di sini, kami benar-benar memberi tentangan sengit kepada Ferrari.

“Saya sangat gembira ketika ini,” kata Hamilton yang turut menempah petak hadapan buat kali keenam di Kanada.

Pelumba Britain itu mungkin berpeluang merapatkan jurang mata yang lebih banyak dengan Vettel, tetapi pemandu Jerman tersebut berupaya bangkit untuk menamatkan aksinya di kedudukan keempat selepas sayap depan jenteranya mengalami kerosakan yang memaksa dia melakukan hentian pit. – REUTERS