Hamilton yang mendahului senarai kejuaraan dunia dengan kelebihan 66 mata mengatasi Sebastian Vettel dengan baki tiga perlumbaan musim ini, semakin hampir dengan kejuaraan dalam aksi di Mexico City, Ahad ini.

Selepas menjuarai Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), Hamilton hanya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima untuk menjadi pelumba Britain pertama mengatasi Sir Jackie Stewart dan merangkul kejuaraan dunia keempat.

Pelumba berusia 32 tahun itu menjadi sensasi litar perlumbaan dengan menjuarai lima daripada enam perlumbaan sejak cuti musim panas dan mengatasi rekod petak pertama Michael Schumacher di GP Itali, September lalu.

Kejuaraan keempat masih lagi menjarakkan jumlah tujuh kejuaraan Schumacher dengan Hamilton tetapi Wolff percaya, bintang pasukannya akan mendapat pengiktirafan lebih hebat di dalam kariernya.

“Lewis semakin hampir memecah kesemua rekod yang ada di dalam F1 dan hanya masa akan menentukan untuk dia menjadi pelumba terbaik yang pernah wujud.

“Prestasi tinggi sering menjadi bahan kritikan kerana mereka memiliki pandangan yang hebat selain menyuarakannya.

“Ikon sukan yang sering menjadi bahan kritikan akan mendapat pujian akhirnya, mungkin selepas menamatkan karier. Ini adalah yang terbaik daripada Lewis, di dalam dan di luar trek. Saya bekerja dengannya sejak 2013,” kata Wolff. – AGENSI