Hamilton, 27, juara dunia 2008 mencatat masa terpantas 1 minit, 24.922 saat di Litar Albert Park mengetepikan Button yang mencatat 1:25.074s.

Pemandu Perancis, Romain Grosjean yang tampil buat pertama kali di Melbourne menempah kedudukan ketiga untuk Lotus, mengetepikan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher dari Mercedes pada tangga keempat.

Dua pelumba Red Bull, Mark Webber yang beraksi di tanah airnya dan juara bertahan dari Jerman, Sebastian Vettel masing-masing meraih tempat kelima serta keenam.

Rakan sepasukan Schumacher, Nico Rosberg meraih petak ketujuh di depan Pastor Maldonado daripada Williams diikuti pelumba Force India, Nico Hulkenberg dan pemandu Australia, Daniel Ricciardo yang berlumba buat pertama kali di Melbourne untuk Toro Rosso.

Bagi Hamilton kejayaan semalam merupakan kali ke-20 dia meraih petak depan sepanjang kariernya yang turut mendapat sokongan teman rapat serta bekas tunangan, Nicole Scherzinger.

Namun, bagi Ferrari perlumbaan semalam merupakan yang terburuk dicatat mereka apabila kedua-dua pemandu mereka gagal berada pada kedudukan 10 terbaik menjelang saingan sebenar hari ini.

Juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Sepanyol yang terbabas pada sesi kedua kelayakan menyaksikan jentera yang dipandunya terbabas ke pinggir litar, sementara rakan sepasukan dari Brazil, Felipe Massa berada pada kedudukan ke-16.

Semalam juga merupakan hari buruk buat juara dunia 2007, Kimi Raikkonen yang kembali semula bersaing dalam F1 setelah gagal melayakkan diri seawal kelayakan pertama dan pemandu Lotus itu akan memulakan saingan pada grid ke-18, hari ini. - AFP