Pemandu Britain itu, yang memulakan aksi di petak hadapan, mengemudi jentera Mercedes untuk mencatat kemenangan kelima di China selepas menyingkirkan Vettel dari Ferrari dengan kelebihan 6.2 saat di depan.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen mengekori di tempat ketiga dalam perlumbaan yang mencetuskan drama di awal saingan ekoran kereta keselamatan terpaksa memasuki trek.

Hamilton yang mendahului sejak awal perlumbaan mencatat masa terpantas 1 jam, 37 minit, 36.158 saat untuk berkongsi tempat teratas dengan Vettel dalam senarai kedudukan pemandu setelah kedua-dua mereka mengumpul 43 mata.

“Terus masuk ke sana, Lewis! Perlumbaan yang hebat, kawan. Satu kejayaan yang cemerlang,” kata jurutera Hamilton menerusi radio pasukan selepas juara du­nia tiga kali itu melepasi garisan penamat buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun terakhir.

Hamilton pula membalas dengan berkata: “Kita telah bekerja keras untuk kemenangan ini, kita berjaya untuk te­rus menghadirkan tekanan.”

Selepas dikecewakan oleh Vettel di Melbourne, dua minggu lalu, Hamilton meramalkan tahun ini bakal menyaksikan satu persaingan sengit bagi merebut gelaran Formula Satu.

“Saya bertarung sengit dengan juara dunia empat kali, (dan) dia pula berada pada prestasi terbaik. Dia benar-benar laju. Ferrari kini berada pada prestasi terbaik mereka. Kami juga begitu.

“Seorang pejuang sejati akan sentiasa memberikan pertarungan sengit sedaya yang anda mampu. Ini kerana apabila anda berada di kedudukan teratas, ia benar-benar memberi satu ke­puasan yang tidak ternilai,” kata Hamilton lagi. – AFP