Hamilton mencatat masa satu minit, 31.678 saat untuk mengetepikan catatan masa juara GP Australia, Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari yang lewat 0.186s di kedudukan kedua terpantas, diikuti rakan sepasukan Hamilton Valtteri Bottas ketiga terpantas.

Catatan masa Hamilton tersebut turut diiktiraf sebagai terpantas dalam sejarah Litar Shanghai dengan mengatasi rekod lama yang dicatat Michael Schumacher pada 2004 iaitu lebih setengah saat.

Ini merupakan petak depan ke-63 Hamilton dalam karier­nya dan keenam di China. Bagi pasukan Mercedes, ini adalah petak depan ke-58 daripada 61 perlumbaan setakat ini.

Menjelang perlumbaan sebenar esok, pencapaian awal Mercedes dan Hamilton ini dilihat bakal menjanjikan satu persaingan sengit dengan Ferrari dalam merebut kejuaraan dunia kategori pelumba dan pasukan musim ini.

Ini memandangkan kedudukan keempat terpantas menjadi milik seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen sekali gus memberi gambaran menarik bahawa tiada pasukan terlalu dominan kali ini berbanding seperti musim lalu.

Dijangka Vettel akan berjuang habis-habisan esok untuk membuktikan kemenangannya di Australia dua minggu lalu bukan disebabkan nasib sebaliknya mengesahkan bahawa Ferrari adalah pencabar sebenar dan pilihan musim ini.

Namun berdasarkan rekod lalu, Hamilton mempunyai pencapaian lebih baik di Litar Shanghai dengan pernah empat kali muncul juara di sini. – AGENSI