Selepas menyaksikan Ferrari menamatkan kedudukan 1-2 di Monaco, dua minggu lalu, Mercedes kembali mempamerkan persembahan dominan apabila Hamilton merangkul kemenangan ke-56 di dalam kariernya, setelah berada selesa 19.7 saat di depan rakan sepasukan, Valtteri Bottas.

Kejayaan itu juga merupakan kemenangan ketiga yang dilakar Hamilton, musim ini dan buat kali ketiga beturut-turut pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas tetapi berangin di Litar Gilles Villeneuve.

“Saya meraih petak utama, di sini buat kali pertama, malah saya melakar kemenangan sulung, di sini 10 tahun lalu dan dapat mengulangi pencapaian sama pada hujung minggu ini merupakan sesuatu yang istimewa.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya kerana menjadikan kejayaan ini sebagai satu realiti. Kakitangan yang berada di kilang telah bekerja keras bagi memperbaiki jentera kami sejak perlumbaan terakhir dan sebaik tiba di sini, kami benar-benar memberikan tentang sengit kepada Ferrari.

“Saya sangat gembira pada ketika ini,” kata Hamilton yang turut menempah petak hadapan buat kali keenam di Kanada. - REUTERS