Pemandu Formula Satu (F1) Bri­tain itu sudah mengesahkan kejuaraan dunia buat kali keempat pada Grand Prix Mexico, 29 Oktober lalu iaitu ketika saingan masih berbaki dua perlumbaan.

Dia kemudian gagal menge­kalkan rentak cemerlang me­nuju penghujung musim.

Dalam Grand Prix Brazil pada 12 November, pemandu Mercedes itu menamatkan saingan di tangga keempat selepas terlibat kemala­ngan pada sesi kelayakan.

Dia kemudian menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Valtteri Bottas pada aksi penutup musim di Abu Dhabi, Ahad lalu.

Selepas muncul juara dunia 2015, Hamilton, 32, turut tewas dalam baki tiga perlumbaan kepada Nico Rosberg, dan Rosberg kemudian meneruskan rentak kejuaraan apabila memasuki musim 2016 dengan muncul juara dunia pada tahun berkenaan.

“Tiada apa yang terlalu membimbangkan ketika ini.

“Memang benar ada sesuatu berlaku selepas saya mengesahkan kejuaraan dunia. Seminggu selepas kemenangan di Mexico saya banyak berpesta.

“Saya masih boleh memandu de­ngan baik, namun saya akui saya tidak dapat memberikan persembahan 100 peratus berbanding dengan perlumbaan-perlumbaan sebelumnya.

“Waktu tidur dan tenaga saya sama sekali berbeza. Saya cuba berlumba seperti biasa tetapi apabila anda tidak melakukan persiapan terbaik anda tidak akan mendapat keputusan yang dimahukan.

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu (keputusan) selepas mengesahkan kejuaraan dunia tetapi sebaik sahaja memasuki musim baharu, saya akan berhenti berpesta. Saya akan kembali dengan persembahan terbaik,” katanya. – AGENSI