Pelumba Britain itu telah menjadi tajuk berita utama ekoran kritikannya terhadap bekas pemandu F1 yang memberikan ulasan tentang perlumbaan menerusi rangkaian televisyen Sky Sports.

“Saya berpendapat semua pemandu berhak mendapat lebih pujian dan dihormati terutama dalam kalangan bekas pemandu yang menjadi pengulas,” kata Hamilton menerusi media sosial, Instagram, semalam, yang meluahkan keluhannya selepas memenangi perlumbaan setelah bermula di petak ke-14 pada Grand Prix Jerman, hujung minggu lalu.

Dalam satu lagi komentarnya menerusi Instagram pada awal minggu ini yang kemudiannya telah dipadam Hamilton, pemandu Mercedes itu berkata, tiada seorangpun daripada pengulas tersebut bercakap sesuatu yang lebih positif tentang persembahannya di Hockenheim.

Kata Hamilton, dia memadam komen tersebut setelah mendengar ulasan yang lebih baik selepas itu.

Bercakap kepada pemberita menjelang Grand Prix Hungary, Wolff berkata, Hamilton seorang yang gemar berterus terang dan sentiasa bersikap tenang kerana jika berada di rumahpun, dia lebih gemar menonton rakaman perlumbaannya berbanding meraikannya.

“Tajuk berita yang positif tidak akan menjual surat khabar dan tidak mampu membantu orang ramai menekan butang like. Saya rasa dia seorang ahli sukan yang sering mencetuskan percanggahan pendapatan dan menyebabkan akhbar laris dijual.

“Saya cuma berasakan segala pencapaian yang telah dilakukan Hamilton tidak pernah mendapat pengiktirafan yang sepatutnya.

“Dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, kita semua akan menoleh kembali ke belakang dan berkata, kita menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup seorang pemandu hebat yang mana kisahnya akan dibukukan, tetapi begitulah kehidupan dan saya yakin dia juga tahu tentang hal itu,” kata warga Austria tersebut. REUTERS