LEWIS HAMILTON meraikan kejayaannya diatas podium dalam perlumbaan GP Formula 1, Amerika Syarikat di Austin, semalam. AFP

Tetapi dalam gembira meraikan kejayaan itu, Hamilton, 32, hairan pencabar terdekatnya, Sebastian Vettel dari Ferrari tidak cuba menyekatnya daripada muncul juara dunia lebih awal malah tidak langsung memberikan tentangan yang bermakna pada perlumbaan itu.

“Ini merupakan perlumbaan yang paling melucukan yang pernah saya lalui kerana saya menjangkakan tentangan sengit daripada Sebastian. Mungkin ia akan berlaku minggu depan di Mexico agaknya.

“Saya bermula dari petak depan dengan agak buruk berbanding Seb (Sebastian) yang berjaya memintas. Tetapi saya tetap tenang kerana menyedari litar di sini luas dan boleh memotong kembali bila-bila masa.

“Yang menghairankan saya, Seb tidak mempertahankan kedudukannya ketika berada di depan,” kata Hamilton yang meng­anggap persaingan kali ini adalah adil bagi kedua-dua mereka.

Ini merupakan kemenangan kesem­bilan Hamilton musim ini, yang kelima di litar ini dan yang ke-62 dalam kariernya sebagai pemandu F1 sekali gus membolehkannya memiliki kelebihan 66 mata berbanding pencabarnya dari Jerman dengan berbaki tiga perlumbaan sahaja lagi.

Hamilton yang menggunakan jentera Mercedes hanya perlu berada dalam kedudukan lima teratas pada GP Mexico hujung minggu ini untuk mengesahkan status sebagai juara dunia buat kali keempat. – AFP