Juara dunia tiga kali itu gagal me­rangkul mahkota kejuaraan keempat tahun lalu, apabila tewas kepada rakan sepasukan, Nico Rosberg yang telah pun bersara.

Jackie Stewart antara yang lantang mengkritik tentang gaya hidup Hamilton yang gemar berpesta, namun pemandu Mercedes AMG Petronas itu menegaskan bahawa dia tahu untuk menyeimbangkan antara karier dan kehidupan peri­badinya.

Selepas gagal menjuarai perlumbaan di Australia, Ahad lalu, Hamilton tidak terus terbang ke Asia menjelang Grand Prix China.

“Saya jarang berada di rumah, saya seronok menikmati kehidupan ini. Saya rasa orang ha­nya mengadili saya berdasarkan apa yang mereka lihat tetapi sewaktu perlumbaan pertama, saya sentiasa berada di tahap terbaik seperti mana tahun lalu.

“Saya mengharungi persai­ngan yang cukup mengagumkan sejak beberapa tahun lalu dan tahun lepas adalah yang paling sengit pernah saya harungi.

“Namun sudah tentu saya mahu memenangi gelaran dunia lebih daripada segala-galanya. Keinginan saya memburu kejuaraan lebih besar berbanding tahun lalu.

“Saya berada di petak depan sejak empat tahun lalu, jadi saya selalu tiba dalam keadaan yang cukup cergas dan bersedia. Tiada satupun perkara yang saya lakukan mengganggu fokus.

“Biasanya saya akan berada di Asia untuk berlatih dalam cuaca panas, tetapi kali ini saya pulang ke rumah berehat dan memastikan saya mampu melakukan kebangkitan untuk perlumbaan berikut kerana saya percaya yang saya mampu meraih kemenangan,” kata Hamilton.

Hamilton memuat naik gambarnya sedang bermain luncur pasir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi laman sosial, Instagram sewaktu pelumba Britain itu dalam perjalanan pulang ke tanahairnya.

Dia mengakui ada melakukan beberapa perubahan menjelang aksi di China. – AGENSI