Pelumba berusia 32 tahun itu berkata, teknologi terkini yang merangkumi bahan pelincir serta bahan api itu sangat diperlukan bagi meningkatkan tahap keboleh­gantungan terhadap enjin yang bakal digunakan sepanjang 21 perlumbaan musim hadapan.

Katanya, peraturan baharu itu dijangka menjadi cabaran utama setiap pasukan yang perlu memastikan setiap enjin digunakan benar-benar berkuasa dan mampu digunakan secara optimum.

Selain peraturan tiga enjin itu juga, Hamilton percaya Mercedes bakal berdepan kebangkitan daripada pasukan lain seperti Ferrari dan Red Bull yang dipercayai akan menggunakan enjin lebih berkuasa berbanding musim ini.

“Meskipun peraturan perlumbaan masih sama seperti sekarang, tetapi peraturan yang hanya membenarkan tiga enjin sahaja digunakan untuk musim hadapan jelas merupakan cabaran besar kepada setiap pasukan kerana mereka perlu memastikan setiap enjin yang digunakan tidak memberikan sebarang masalah kepada mereka.

“Saya berharap, Petronas dapat menyediakan teknologi terbaik untuk bahan api serta pelincir bagi memastikan enjin yang digunakan berada pada tahap optimum.

“Saya percaya pasukan seperti Ferrari dan Red Bull akan menggunakan enjin yang lebih berkuasa dan sudah pasti mereka akan menjadi lebih laju berbanding musim ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis meraikan kejuaraan dunia keempatnya di lobi Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Jenama dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Noor Afiza M. Yusof berkata, Petronas akan berusaha menyediakan teknologi terbaik bagi memastikan Mercedes dapat meneruskan kecemerlangan pada musim hadapan.

Katanya, pihaknya memiliki makmal di setiap litar lumba yang lengkap dengan tenaga kerja profesional yang ditugaskan untuk menganalisis segala kelemahan untuk diperbaiki dan disesuaikan untuk setiap perlumbaan.

“Kami sentiasa melakukan ujian selepas setiap perlumbaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk perlumbaan seterusnya.

“Sudah pasti perlumbaan musim hadapan akan menjadi lebih mencabar, jadi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan formula kemenangan buat pasukan ini kerana kejayaan mereka adalah kejayaan Malaysia,” katanya.