Hamilton merangkul gelaran dunia keempat di Mexico semalam ketika saingan F1 musim ini masih berbaki dua perlumbaan, sekali gus muncul pemandu Britain paling cemerlang dalam sejarah sukan permotoran termahal dunia itu.

Begitupun sejurus tamat perlumbaan, pemandu berusia 32 tahun itu menegaskan, dia belum puas dengan kejayaan yang dikecapi dan mahu memburu lebih banyak kegemilangan.

“Empat adalah nombor yang hebat, tetapi sekarang saya mahu nombor lima.

“Saya mahu bersara ketika berada di atas. Saya boleh me­lakukan perkara yang mudah seperti yang dilakukan oleh Nico iaitu berhenti dan berehat selepas merangkul empat kejuaraan, namun saya fikir saya boleh meraih lebih banyak lagi.

“Saya fikir, ada banyak kejayaan menanti dan lebih ba­nyak cabaran untuk dihadapi.

“Ujian yang menunggu pasti sukar dan saya gemarkan ke­adaan itu. Saya sukakan cabaran dan hidup pasti membosankan tanpa cabaran,” katanya kepada pemberita.

Rosberg mengumumkan persaraannya, Disember tahun lalu beberapa hari selepas merangkul kejuaraan dunia pertama­nya setelah bersaing sengit de­ngan Hamilton.

Pemandu Jerman itu memberi alasan dia mahu memberi tumpuan kepada keluarga selepas lebih banyak menghabiskan masa di litar sepanjang bergelar pemandu F1.

Gaya hidup Hamilton sebaliknya berbeza dengan Rosberg kerana dia bukan sahaja belum berkahwin, malah lebih menggemari dunia glamor dengan turut meminati muzik, filem serta fesyen.

Semalam, Hamilton mengesahkan kejuaraan dunia keempat meskipun mengharungi perlumbaan terburuk musim ini apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam Grand Prix Mexico.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen dari Belanda menjua­rai perlumbaan itu, manakala Hamilton dipaksa bangkit daripada ketinggalan di kedudukan terakhir akibat terlibat dalam kemalangan dengan Vettel di pusingan pertama.

Vettel, satu-satunya pelumba yang boleh menafikan kejuaraan Hamilton musim ini, memulakan perlumbaan di petak pertama dan menamatkannya di tempat keempat.

Hamilton sah menjadi juara dunia selepas mengumpul 333 mata berkelebihan 56 mata di depan Vettel.

Sekali pun Vettel memenangi kedua-dua perlumbaan tersebut dengan 50 mata maksimum pelumba Jerman dari pasukan Ferrari itu masih tidak ­dapat me­ngubah kedudukan. 
– REUTERS